16 October 2018

SEPAKTAKRAW MENENTANG OBESITI DI SEPANG


6 Oktober 2018
Inisiatif pengggalakkan untuk menjalani gaya hidup sihat di Selangor digerakkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPSB) menerusi Program Sports For All kali ini bertempat di Balairaya Salak Daerah Sepang. Program Sepaktakraw vs Obesiti adalah salah satu program istimewa KPSB yang dijalankan oleh komuniti sepaktakraw terbesar negara iaitu Kelab Masyarakat Bolarotan (MBR).




Edisi ke 3 Sepaktakraw vs Obesiti kali ni berjaya menarik penyertaan 60 orang dari serata Selangor malah satu regu dari Pulau Pinang turut hadir bersaing. Setiap regu wajib terdiri dari 2 orang pemain yang mempunyai Body Mass Index (BMI) melebihi 30 untuk melayakkan mereka bersaing.





Sesi pagi bermula dengan saringan pemain di mana setiap mereka diukur BMI bagi pengesahan kelayakan. Selepas itu taklimat kesihatan kecergasan diberikan kepada semua yang hadir sebelum persaingan dalam format liga berlangsung. Program telah dirasmikan oleh Encik Mohammad Nazlan Yahya iaitu Ketua Kampung Salak Tinggi.
Menurut Pengarah program iaitu En. Abdul Razak Habibur Rahman, kempen mengenai obesiti ini perlu diperkasakan memandangkan kajian terkini mendapat 1 dari 2 rakyat Malaysia berada dalam keadaan terlebih berat badan. Ini pastinya memberi kesan langsung kepada tahap produktiviti negara dan risiko kesihatan yang pastinya memerlukan kos yang lebih tinggi kerana obesiti berkait rapat dengan banyak penyakit kritikal yang lain.




Perlawanan dalam format liga 4 kumpulan ini telah menobatkan regu Gering sebagai juara menewaskan regu Acap Stokin pada perlawanan akhir. Hadiah telah disampaikan oleh Penaung Kelab Sepaktakraw Salak iaitu Tuan Haji Jamal Awang. Johan membawa pulang wang tunai RM700.





Usaha Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini dilihat satu langkah positif yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor khususnya selain mengeratkan lagi silaturrahim dikalangan penggiat sepaktakraw amnya. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diperolehi di Facebook Bolarotan.