05 December 2018

Program Sports For All - Sepaktakraw vs Obesiti Daerah Kuala Langat


Lubuk bakat sepaktakraw Orang Asli di Kuala Langat
17 November 2018

Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong
Oleh : Mohsen Amdan



Sukan sepaktakraw bukanlah sesuatu yang asing bagi Orang Asli di Malaysia. Ramai bakat yang sebenarnya wajar diketengahkan tetapi masih  tenggelam disebalik pelbagai peluang terhidang. Justeru menerusi  program Sports For All tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang dikendalikan oleh Bolarotan, satu program kesedaran kesihatan menerusi sukan iaitu Sepaktakraw vs Obesiti telah dijalankan di daerah Kuala Langat.
Idea mengadakan program ini terhasil apabila sebuah video aksi seorang kanak – kanak orang asli berusia 7 tahun melakukan libasan gulung mendapat lebih 1 juta tontonan di media sosial yang membuatkan penganjur merasakan pasti terdapat lebih ramai bakat dikalangan mereka.





Bertempat di Kampung Orang Asli Kolam Air Bangkong, seramai 120 orang dari pelbagai peringkat usia terlibat dalam program yang berlangsung pada 17 November 2018 yang lalu. Rata  - rata orang asli dari suku Temuan ini hadir dari pelbagai lokasi sama ada dari kampung berdekatan malah, ada yang datang dari Johol Negeri Sembilan. Program julung – julung kali mengumpulkan bakat sepaktakraw dikalangan orang asli ini mendapat sambutan hebat dan banyak bakat yang dikesan kebanyakannya berusia sekitar 13 sehingga 21 tahun.
Program ini dirasmikan oleh En. Sadiman iaitu pegawai khas kepada YB Adhif Syan Abdullah iaitu ADUN Dengkil.



Menurut Mohamad Azni Bidin, sebagai orang asli, peluang berkumpul dan bersukan sebegini adalah satu program yang bagus bagi mengukuhkan jalinan ukhwah sesama mereka. Malah menurut beliau, sudah tiba masanya bakat – bakat dari kalangan Orang Asli diberi peluang ke pentas yang lebih besar dan merek ajuga yakin mampu menyumbangkan pingat kepada Negara.



Inisiatif dari Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Bolarotan ini merupakan satu bentuk penggalakkan agar rakyat menjalani gaya hidup sihat menerusi sukan dan obesiti adalah antara isu kesihatan besar yang melanda Negara. Maka diharapkan dari program ini kelak, sepaktakraw boleh dijadikan salah satu pilihan untuk rakyat kekal aktif bersukan dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.



No comments:

Post a Comment